Sunday, October 24, 2010

Hebat Dan Bahagia Dengan Wangian

Pewangi atau wangi-wangian sangat besar manfaatnya bagi otak, hati dan seluruh anggota batin. Keharumannya dapat menggirangkan hati menyenangkan jiwa. Wangian juga merupakan makanan roh, sedang roh itu adalah pemberi kekuatan jasad, dan kekuatan bertambah dengan wangi-wangian.
Tenaga dalam tubuh boleh meningkat dan bertambah kerana minyak wangi bertindak sebagaimana tenaga yang boleh meningkat dengan adanya makanan dan minuman. Hal ini mudah diterima akal kerana bau wangi dapat membersihkan otak dan jantung serta setiap organ tubuh bahagian dalam, dapat menggembirakan hati dan menyenangkan jiwa serta memberi kesegaran rohani.

Wangian menjadikan seseorang itu hebat. Baginda S.A.W mempunyai bau tubuh yang wangi dan segar secara semula jadi. Wangian ini melebihi wangian yang wujud di dunia. Sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Anas r.a., beliau mengkhabarkan bahawa (yang maksudnya ), “ Aku tidak pernah menghidu wangian anbar , kasturi dan apa jua wangian yang lebih wangi daripada bau Rasulullah S.A.W.”
Walaupun begitu Baginda S.A.W memakai minyak wangi yang dipanggil sukkah . Ibn Abi Syaibah menyebut: “ Rasulullah S.A.W. mempunyai sejenis sukkah yang selalu Baginda gunakan untuk mewangikan tubuhnya.” Sukkah ialah wangian yang cukup dikenali, tetapi yang dimaksudkan di sini ialah tempat minyak wangi.
Menurut riwayat sahih juga Baginda S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mempunyai hak terhadap setiap Muslim agar ia selalu mandi setiap tujuh hari sekali. Jika ia mempunyai minyak wangi, hendaklah ia menggunakannya.”
Terdapat satu riwayat tentang seorang ulama yang mulia iaitu Imam Malik yang selalu berpakaian cantik, kemas, segak, gagah dan sentiasa berbau harum, lebih-lebih lagi ketika beliau ingin menyampaikan hadis Rasulullah S.A.W.
Khasiat Wangian
Wangian mempunyai khasiat dan para malaikat amat menyukainya manakala syaitan amat membencinya. Ini kerana, syaitan amat menyukai bau busuk dan menjijikkan. Roh yang baik akan menyukai bau yang wangi. Adapun roh yang jahat pula akan menyukai bau yang busuk. Setiap roh akan cenderung kepada bau yang sesuai dengannya. Yang baik akan dikumpulkan dengan yang baik. , dan yang buruk akan dikumpulkan dengan yang buruk, sama ada lelaki mahupun wanita. Mencakupi segala perkara, sama ada perbuatan, ucapan, makanan, pakaian dan haruman.

Antara Faedah Memakai Wangian

1.Menyegarkan diri dan meransang minda
2.Memberi ketenangan dan ketenteraman jiwa
3.Wangian amat disukai Allah, para malaikat, para rasul dan orang soleh. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Empat perkara daripada sunah rasul; perasaan malu, memakai wangian, bersiwak dan bernikah
4.Menghindari daripada syaitan kerana syaitan amat menyukai bau busuk.
5.Wangian melambangkan kebaikan
6.Wangian adalah satu sifat syurga, sebagaimana hadis riwayat Abu Nu’aim daripada Abu Sufyan dan Jabir r.a., bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Allah S.W.T. berfiman kepada syurga, wangilah untuk penghuni engkau! Lalu syurga pun bertambah wangi. Maka demikianlah bahawa hawa dingin yang dirasai manusia kala dinihari, iaitu sebagaimana juga Allah menjadikan api di dunia dan kepedihannya, juga kegelisahan dan dukacitanya sebagai peringatan tentang api di akhirat.

No comments:

Post a Comment